2:35 PM Kenapa Salahkan Takdir?

Oleh Malique

" Dari beberapa komen dalam forum TKO ni, banyak yang mematikan hujjah dengan mengatakan itu adalah takdir. Tetapi tidak banyak yang melihat sebab dan akibat yang menjurus kepada takdir tersebut.

Sungguhpun nasib setiap insan di atas dunia ini telah pun termaktub dalam kitab di "Luh Mahfuz', tetapi kita tidak boleh menyalahkan takdir dari akibat pemilihan kita. Saya katakan Allah jadikan manusia sebagai suatu hidupan yang sangat kompleks dari segi inteligen.

Dan dalam program hidup, seperti mana program komputer, manusia diberi pelbagai pilihan...seperti YA, TIDAK atau BERKECUALI. Setiap keputusan yang diambil mempunyai implikasi yang berbeza.

Kita melihat bangunan yang runtuh dan menyebabkan kematian penghuni. Memanglah ini suratan takdir. Bagaimanapun kita perlu kaji kenapa bangunan itu runtuh. Ini akan mengarah kita kepada masalah rekabentuk atau masalah perlaksanaan pembinaan. Katakan rekabentuk cukup mantap, maknanya kalau dikuti spesifikasi memang tidak akan runtuh. Maka kita lihat pula dalam kontek perlaksanaan pembinaannya. Dari kajian misalnya kita tahu, kekuatan konkrit bergantung kepada nisbah campuran air, simen dan pasir.

Ini adalah ketetapan Allah bila mencipta komponen-komponen. Berubah amaun simen, pasir atau air mempunyai impak ke atas kekuatan konkrit. Jadi sekiranya pihak kontraktor yang memilih untuk mengurangkan simen misalnya bagi mengaut keuntungan yang lebih, maka ia akan melemahkan kekuatan konkrit dan bila tiba masanya bangunan runtuh. Memang telah ditakdirkan begitu...tetapi manusia yang membuat pilihan. Oleh itu, bukan takdir yang harus dipersalahkan, tetapi kesilapan setiap individu yang membuat pilihan.

Takdir itu adalah ketentuan. Dan ia berlaku berasaskan pertimbangan, keputusan dan pilihan yang kita buat. Jadi bukan takdir yang harus disalahkan, tetapi diri sendiri. "