8:43 AM Kerajaan Kedah kaji dasar baru berkaitan tender

Bashir Ishak
Mon | Apr 21, 08 | 4:28:38 pm MYT

ALOR STAR, 21 April (Hrkh) - Kerajaan Kedah sedang mengkaji dasar baru tender untuk dijadikan panduan yang mungkin menyaksikan tiada lagi pemberian tender secara runding terus kecuali bagi kes-kes tertentu pada masa akan datang, kata Menteri Besar Ustaz Azizan Abdul Razak.

Menurutnya, kerajaan negeri akan meneruskan projek-projek yang sedang dilaksanakan sehingga selesai, manakala dasar baru tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri sebelum dilaksanakan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu anggota jawatankuasa Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Cawangan Kedah (KCCC) di Wisma Darul Aman semalam.

Selain itu katanya, kerajaan negeri akan mencari penyelesaian terbaik mengenai pemberian tender terbuka bagi menggambarkan ketelusan kerajaan Pakatan Rakyata.

"Bagi kes tertentu yang memerlukan kepakaran, tempoh masa menyiapkan projek dan memenuhi beberapa keperluan lain bagi mempastikan kejayaan, rundingan terus akan dipertimbangkan," katanya.

Sebagai contoh katanya, dua buah sekolah di Kedah di kawasan sama yang dibina dengan spesifikasi sama sangat berbeza daripada segi harga.

"Sekolah yang dibina secara tender cuma berharga RM6.5 juta, sementara satu lagi yang diberi secara runding terus berharga RM20 juta," ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan langkah tidak bijak terhadap pemberian tender kawasan balak sebelum ini menyebabkan kerajaan negeri kerugian besar.

"Kerajan negeri boleh mendapat RM19,000 bagi satu hektar kawasan balak yang diberi secara tender sebaliknya hanya mendapat RM500 bagi keluasan yang dengan tender runding terus atau tender tertutup," katanya. - mns