9:10 AM Sampah Muslim dicurigai

Majlis tempatan Britain mahu periksa bahan buangan warga Islam

LONDON: Kerajaan Britain berhasrat mewajibkan pengutip sampah menyelongkar tong sampah rumah warga Muslim di sekurang-kurangnya 17 bandar, termasuk di London bagi mengesan sebarang bahan mencurigakan yang dikaitkan dengan keganasan.

Seramai dua juta penduduk Muslim mendiami Britain dan masyarakat minoriti itu menjadi sasaran utama sejak kejadian pengeboman pada 7/7 yang mencetuskan senario kebencian atau fobia terhadap Islam.


Cadangan yang dikemukakan pegawai majlis tempatan, lapor media tempatan, disifatkan sebagai cubaan mengheret tugasan intipan ke tangan pekerja majlis berkenaan.

"Kami diminta mengintip penduduk dengan memastikan pengutip sampah menyelongkar sampah sarap rumah Muslim," akui Pengerusi Majlis Perbandaran Bradford, Kris Hopkins.

Malah, lapor akhbar Daily Mail, sejumlah 17 pihak berkuasa tempatan termasuk Bradford, Manchester, Oldham, Leicester dan empat kawasan London yang semuanya merangkumi penempatan besar masyarakat Muslim, sudah dimaklumkan mengenai pelan intipan berkenaan.